Make your own free website on Tripod.com

PintarNews

Mei 1999 / Muharram 1420 * Bil. 17 * Tahun 2 *Percuma* Untuk Warga SRIP Sahaja

PENDIDIKAN KEIMANAN

Pendidikan keimanan ialah memperkenalkan kanak-kanak semenjak kecil dengan asas-asas keimanan serta prinsip-prinsip syariat yang mulia semenjak usia tamyiz. Asas-asas keimanan merangkumi berita-berita dan hakikat-hakikat keimanan dalam perkara-perkara ghaib seperti beriman dengan Allah, malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat dan qada’ serta qadar. Prinsip-prinsip syariat pula ialah segala hubungan dengan dasar-dasar Ilahi serta pengajaran Islam seperti aqidah, ibadah, akhlaq, pensyariatan, peraturan-peraturan dan hukum-hukum.

SRIP berusaha melengkapkan pelajar-pelajarnya dari tahap satu dengan kefahaman-kefahaman yang diasaskan kepada pendidikan keimanan, membiasakan diri dengan asas-asas pengajaran Islamiah supaya pelajar mengenali Islam dari segi aqidah dan ibadat. Segala kefahaman mengenai pendidikan keimanan adalah dikumpulkan daripada wasiat-wasiat Rasulullah s.a.w. dan pengarahannya dalam memperkenalkannya kepada pelajar-pelajar. Berikut disenaraikan pengarahan daripada Rasulullah s.a.w.

Memulakan pengenalan anak-anak dengan kalimat Laa ila ha illa Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. “ Mulakanlah memperkenalkan anak-anakmu dengan La ila ha illa Allah”. Rahsianya supaya kalimat tauhid ini pertama mengetuk pintu telinga anak tersebut.

Memperkenalkan hukum-hukum halal dan haram. Ini sesuai dengan sabda Rasululah s.a.w. “ Bekerjalah dengan taat kepada Allah, dan jauhilah maksiat-maksiat terhadap Allah, dan suruhlah anak-anak kamu supaya menurut perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, maka itulah pemeliharaan diri kamu dan diri mereka daripada api neraka” Rahsianya supaya anak itu dapat membiasakan melakukan kerja-kerja halal dan meninggalkan kerja-kerja haram.

Menyuruh beribadat semenjak berumur tujuh tahun. Sabda Rasulullah s.a.w. “Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun, dan pukullah dia pada waktu sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka “ Hadis ini diqiaskan kepada ibadat-inadat lain seperti berpuasa. Rahsianya supaya pelajar dapat membiasakan diri dengan ibadat-ibadat semenjak daripada kecil lagi serta merasakan mengerjakan ibadat merupakan kesucian jiwa, kesihatan badan, pendidikan akhlak serta pembaikan terhadap perkataan dan perbuatan. Bersambung ……………

Pintar News

AKTIVITI SRIP

KURSUS GURU

Mei - Satu kursus guru akan diadakan pada cuti pertengahan tahun 1999 ini. Kursus lanjutan ini mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama ialah kursus sempoa yang akan diadakan pada 22 dan 23 Mei. Setiap SRIP dikehendaki menghantar dua orang guru. Manakala kedua bahagian kedua yang melibatkan guru besar dan semua guru diadakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Mei. Kursus kali ini diadakan di Sekolah Menengah Teknik, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu.

MENINGKATKAN PENGGUNAAN E-MEL

Mei - IASB sedang menyusun program kepada semua guru dan kakitangan SRIP untuk meningkatkan penggunaan mel elektronik (E-Mel). Peningkatan penggunaan e-mel bagi setiap guru dan kakitangan SRIP adalah penting dalam menyalur dan mendapat maklumat. Mulai Jun, 1999 IASB akan hanya menghantar bahan-bahan pengajaran melalui e-mel kepada pihak SRIP. Ini adalah untuk menjimatkan masa selain dari mendedahkan warga SRIP kepada proses aplikasi komputer dan multimedia sebagaimana yang dirancang oleh IASB. Guru-guru adalah digalakkan untuk mempunyai alamat E-mel masing-masing untuk berinteraksi secara maya samada dengan IASB, sesama kakitangan SRIP, keluarga pelajar SRIP dan organisasi maya yang lain.

 

EKSEKUTIF BARU R&D

Ilmu Amal Sdn Bhd menambah seorang lagi pegawai penyelidikan dan pembangunan (R&D). Beliau ialah Encik Mohd Zafrullah Bin Haji Ariffin, seorang lulusan ijazah Universiti Malaya. Beliau memulakan tugas pada 2 Mei 1999, dan bertanggungjawab bagi pihak pengurus R&D.

SRIP USJ DI BAWAH PENGURUSAN BARU

Adalah dimaklumkan bahawa SRIP USJ di bawah pengurusan baru sedang beroperasi di premis baru yang beralamat Tingkat 6, No 18-6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, 47620 UEP Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan. Keterangan lanjut sila hubungi talian 03-724 1535 / 019-317 6347 (Tajuddin).